Remaja 16 tahun direman enam hari bantu siasatan bunuh pelajar perempuan
Remaja 16 tahun direman enam hari bantu siasatan bunuh pelajar perempuan
BATU PAHAT: Remaja lelaki berusia 16 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar perempuan sebaya yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah sekolah di Yong Peng, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu.
Katanya, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 5.50 petang selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah.
“Mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Semakan mendapati remaja berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan.
Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi mendapatkan perintah reman selama enam hari.
Ab Rahaman berkata, proses bedah siasat terhadap mangsa dijalankan hari ini di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Katanya, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dihukum mati, sekiranya sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan Polis Kontinjen Johor di 07-2212999.-SAHIH
#kw: Yong Peng, pelajar, bunuh, reman
