PENTERNAK KUPANG DIPERCAYAI LEMAS
Berita Kemalangan
PENTERNAK KUPANG DIPERCAYAI LEMAS
SABAK BERNAM: Seorang penternak kupang dikhuatiri lemas di kelong kupang di Sungai Tiga dekat sini, semalam.
Mangsa, Jam Md Ross, 43, dikatakan terjun ke laut untuk menyelamatkan sampannya yang terlepas tali tambatan dan dilaporkan hilang oleh rakannya.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim, berkata Pusat Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam berhubung kejadian itu pada 5.45 petang.
Beliau berkata, Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bharu (MRSC) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) sebaik menerima laporan berkenaan.
“Gerakan mencari membabitkan keluasan lokasi kira-kira 25 batu nautika persegi dan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Hebahan turut dilakukan kepada komuniti nelayan untuk turut serta melakukan pencarian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 03-31769100 / 0627.
Sumber: BH Online