Warga emas semarak cinta Rasulullah, negara
Warga emas bersama pengurusan PJMM dan PJNH serta sukarelawan setiba di pintu utama pusat jagaan itu selepas berarak sambil berselawat.
Warga emas semarak cinta Rasulullah, negara
SEMENYIH – Walaupun hanya berarak kurang 100 meter, semangat 50 warga emas dari dua pusat jagaan di Semenyih dan Beranang, di sini, cukup untuk menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta semangat patriotik sempena sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Kemerdekaan.
Dengan ada yang berkerusi roda, bertongkat dan dipimpin rakan sebaya serta sukarelawan, mereka mengibarkan Jalur Gemilang sambil berselawat menuju pintu utama Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) dari jalan utama Kampung Sungai Purun, pada 25 Ogos lalu.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata pihaknya sudah memaklumkan mengenai majlis berkenaan seminggu lebih awal dan sambutan diterima penghuni amat menggalakkan.

Azman Rasman (kiri) bersama-sama antara sukarelawan menerima cenderamata dan sijil penghargaan.
Katanya, keterujaan warga emas untuk turut berarak mungkin dipengaruhi paparan kempen Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan yang sering mereka tonton menerusi televisyen.
“PJMM akan berusaha mengadakan majlis sebegini setiap tahun jika mendapat sokongan dan sumbangan pelbagai pihak kerana mahu warga emas turut merasai kemeriahan sambutan peristiwa bersejarah.
“Ada antara penghuni pernah berkhidmat sebagai anggota tentera, polis dan kakitangan kerajaan. Jadi, sambutan ini memberi peluang kepada mereka mengimbau nostalgia ketika berbakti kepada negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis.
Program turut mendapat kerjasama Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang dan Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), selain ceramah bertajuk Meniti Usia Bersama Cinta Rasulullah oleh Ustaz Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata meskipun diadakan secara sederhana, program itu memberi makna besar kepada warga emas yang dapat berselawat, mengibarkan Jalur Gemilang dan mengeratkan ukhuwah bersama sukarelawan serta penduduk setempat.
“Majlis turut diakhiri nyanyian lagu Negaraku dan lagu patriotik bagi menyuntik semangat cintakan negara dalam kalangan warga emas, petugas, sukarelawan dan tetamu,” katanya.
Dalam majlis sama, cenderamata dan sijil penghargaan disampaikan kepada sukarelawan, manakala Al-Fawwaz Travel Agency menyerahkan beg bagasi kepada dua warga emas, Ruddly Tuntun dari PJMM dan Muhammad Najad Ma Abdullah dari PJNH yang menerima tajaan menunaikan umrah.-SAHIH.
