Pekan Sehari Temerloh medan belajar koperasi
Pekan Sehari Temerloh medan belajar koperasi
TEMERLOH – Keunikan Pekan Sehari Temerloh yang terkenal dengan kepelbagaian produk tempatan menarik perhatian Koperasi Ex-Rail Bhd, koperasi pesara Keretapi Tanah Melayu (KTM), untuk menjadikannya lokasi menimba ilmu berkaitan pengurusan perniagaan.
Seramai 44 anggota koperasi yang berpeluang melihat sendiri cara peniaga tempatan menguruskan jualan, berkomunikasi dengan pelanggan serta bersaing secara sihat bagi memastikan barangan mereka habis terjual.
Ketua Pegawai Operasi koperasi, Abdul Rahim Othman, berkata pekan sehari yang terletak di Lurah Semantan itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menghimpunkan lebih 600 peniaga dengan pelbagai jualan termasuk hasil tanaman, produk industri kecil dan sederhana (IKS), ternakan, hasil sungai serta kuih-muih tradisional.
Menurutnya, pekan berkenaan turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pekan sehari terpanjang di Malaysia dengan jarak kira-kira dua kilometer.
“Kita dapat melihat bagaimana peniaga, termasuk warga emas, berusaha memasarkan hasil sendiri dan berinteraksi dengan pelanggan tanpa menyinggung perasaan pesaing.
“Situasi ini memberi pengajaran kepada ahli koperasi bahawa kesabaran dan kecekapan memasarkan produk amat penting kerana keuntungan dalam perniagaan tidak sentiasa menentu,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman itu juga boleh diterapkan dalam pengurusan koperasi terutama dalam memastikan stok sentiasa bergerak dan tidak tersimpan terlalu lama.
Sementara itu, Koordinator rombongan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Koperasi, Muhamad Osman, berkata lawatan berkenaan turut membuka peluang untuk merancang pakej pelancongan domestik pada kos berpatutan.
Katanya, pengalaman lawatan sebelum ini ke Batam, Indonesia, Cameron Highlands dan lokasi IKS di Selangor akan digabungkan dengan hasil lawatan berkenaan bagi meneroka peluang perniagaan baharu yang mampu menjana pendapatan koperasi serta penduduk tempatan.-SAHIH.
