ATM sasar agihan anggota 50:50 Semenanjung, Sabah dan Sarawak
ATM sasar agihan anggota 50:50 Semenanjung, Sabah dan Sarawak
KOTA TINGGI: Kerajaan akan menyusun semula penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyasarkan agihan 50 peratus di Semenanjung dan baki 50 peratus di Sabah serta Sarawak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bagi memastikan kekuatan pertahanan negara diagihkan secara lebih seimbang antara kedua-dua wilayah.
Menurutnya, ketika ini kira-kira dua pertiga anggota ATM ditempatkan di Semenanjung manakala satu pertiga lagi di Sabah dan Sarawak, dengan kira-kira 20,000 anggota pada setiap masa.
“Dari segi anggota, sekarang ini kita dua pertiga anggota ada di Semenanjung, satu pertiga anggota di Sabah dan Sarawak.
“Kita nak supaya kedudukan anggota itu 50 peratus di Semenanjung, 50 peratus di Sabah dan Sarawak. Jadi kita nak imbang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi, di sini.
Sementara itu, mengulas perkembangan aktiviti ketenteraan di Pulau Balabac, Filipina yang berhampiran Malaysia, Mohamed Khaled berkata perkara itu perlu dilihat dari sudut kesiapsiagaan dan bukan sebagai ancaman langsung terhadap negara.
Katanya, kedudukan pulau berkenaan yang terlalu hampir dengan Malaysia menyebabkan sebarang pertikaian atau pertempuran di kawasan itu berpotensi memberi kesan limpahan kepada negara.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan akan terus menuntut penyelesaian daripada syarikat Norway susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia.
Katanya, tiga pilihan sistem peluru berpandu dari tiga negara kini sedang dinilai sebagai pengganti dengan anggaran kos antara RM700 juta hingga lebih RM1 bilion dan memerlukan peruntukan baharu.
Mohamed Khaled berkata proses itu perlu disegerakan kerana perolehan sistem peluru berpandu mengambil masa beberapa tahun.
Malaysia sebelum ini mengemukakan tuntutan kira-kira RM1 bilion susulan pembatalan lesen eksport NSM berkenaan.-SAHIH
#ATM #PertahananNegara #SabahSarawak #MohamedKhaled
