Enam daripada 10 ahli KWSP disasar capai simpanan RM390,000
Enam daripada 10 ahli KWSP disasar capai simpanan RM390,000
Kuala Lumpur: Kerajaan menyasarkan enam daripada setiap 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada di landasan mencapai Simpanan Asas RM390,000 apabila mencecah usia 60 tahun menjelang 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini hampir empat daripada 10 ahli KWSP berada di landasan mencapai penanda aras berkenaan menerusi Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP.
Menurutnya, perkembangan itu menggalakkan, namun masih ramai rakyat Malaysia berdepan risiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang boleh mencecah antara 20 hingga 25 tahun.
“Di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP, hampir empat daripada 10 ahli kini berada di landasan mencapai penanda aras Simpanan Asas RM390,000 pada usia 60 tahun.
“Hasrat kita adalah meningkatkannya kepada enam daripada 10 menjelang 2030,” katanya.
Teks ucapan Anwar dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026 anjuran KWSP di sini, Selasa.
Anwar berkata, kecukupan simpanan persaraan kekal menjadi cabaran kerana sebahagian rakyat bekerja di luar sektor pekerjaan formal, sedangkan sistem perlindungan sosial negara sebahagian besarnya dibangunkan berasaskan pekerjaan formal.
Katanya, sistem itu perlu berkembang seiring perubahan corak pekerjaan ketika perancangan persaraan bukan semata-mata mengenai pengurusan wang, sebaliknya memastikan seseorang mempunyai pendapatan mencukupi sepanjang usia persaraan.
Menurutnya, bagi pembuat dasar, persaraan mungkin dilihat sebagai perancangan kewangan selama 30 tahun, tetapi bagi sesetengah rakyat yang perlu memikirkan makanan, sewa dan persekolahan anak, perancangan kewangan mereka mungkin hanya untuk beberapa hari mendatang.
“Jaminan persaraan bermula dengan pendapatan, pekerjaan yang baik dan keupayaan menabung secara konsisten. Agenda persaraan perlu bergerak seiring dengan agenda gaji,” katanya.
Kerajaan turut menyediakan RM1.26 bilion bagi kebajikan warga emas yang memberi manfaat kepada 180,000 penerima, selain memperluas pusat aktiviti bagi mengurangkan risiko pengasingan sosial dalam kalangan golongan berusia.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: KWSP, persaraan, simpanan, Anwar Ibrahim
