RPSA 2026-2030 jadi rujukan utama pendigitalan kerajaan
RPSA 2026-2030 jadi rujukan utama pendigitalan kerajaan
Putrajaya: Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026-2030 akan menjadi rujukan utama semua kementerian, jabatan dan agensi dalam merancang serta melaksanakan inisiatif pendigitalan kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar berkata, RPSA merangkumi lima teras strategik, 18 strategi, 44 program dan 44 sasaran sebagai rangka kerja serta panduan strategik transformasi digital sektor awam.
Menurutnya, pelan bertemakan Paduan Dinamik Keseluruhan Kerajaan itu turut memberi penekanan kepada penyelarasan proses melalui Enterprise Architecture (EA) bagi perkhidmatan merentas agensi Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjelang 2030.
“RPSA turut memberikan penekanan khusus kepada pemantapan keselarian proses melalui Enterprise Architecture (EA) bagi perkhidmatan merentas agensi Persekutuan, negeri dan PBT menjelang 2030.
“Ini termasuk penyeragaman proses bagi 19 kluster perkhidmatan Persekutuan, lapan kluster perkhidmatan negeri dan 13 kluster perkhidmatan PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Enterprise Architecture dan melancarkan RPSA 2026-2030 di Putrajaya, Isnin.
Shamsul Azri berkata, beliau sudah menandatangani surat pemakaian RPSA 2026-2030 untuk dipanjangkan kepada semua kementerian, jabatan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun Persekutuan dan PBT.
Katanya, RPSA juga perlu menjadi panduan kementerian dan agensi dalam menyediakan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) masing-masing.
“Setiap ketua setiausaha, ketua jabatan, ketua pegawai digital, pengurus ICT dan pemilik perkhidmatan perlu melihat RPSA sebagai rancangan kita bersama, bukan dokumen milik Kementerian Digital atau Jabatan Digital Negara semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, keberhasilan RPSA 2026-2030 akan dipantau bersama Malaysia Digital 2030 menerusi Mesyuarat Kerajaan Digital, selain menyeru semua agensi menjadikan pelan itu sebagai cara kerja baharu sektor awam.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: RPSA, pendigitalan kerajaan, Shamsul Azri, sektor awam
