Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama halal, getah
Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama halal, getah
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam industri halal dan getah bagi mewujudkan peluang ekonomi bernilai tinggi serta menembusi pasaran ASEAN dan global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah eksport dan import semata-mata, sebaliknya mengambil kira nilai yang mampu diwujudkan menerusi kerjasama lebih erat.
Menurutnya, kedudukan geografi Malaysia dan Thailand yang berdekatan memberi kelebihan dari sudut kesalinghubungan, namun potensi hubungan ekonomi kedua-dua negara perlu diteroka dengan lebih luas.
“Hubungan Malaysia dan Thailand ini bukan sahaja dari segi ‘connectivity’ yang mana kita ada kelebihan dari segi kedudukan yang rapat, tetapi juga potensinya itu perlu dinilai melangkaui daripada hanya jumlah perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan pembukaan pada Forum Ekonomi Ke-3 2026 di sini, Jumaat.
Akmal Nasrullah berkata, pembangunan Perlis Inland Port bersama projek seperti Chuping Valley dan Kedah Rubber City mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi rentas sempadan.
Katanya, kekuatan Thailand dalam sektor huluan getah boleh digabungkan dengan keupayaan Malaysia dalam sektor hiliran sekali gus membuka potensi lebih besar kepada industri itu.
Kerjasama berkenaan turut mampu memperkukuh rangkaian pergerakan barangan ke pelabuhan lain termasuk di Pulau Pinang.
Malaysia dan Thailand menyasarkan nilai perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2027, bersempena ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Akmal Nasrullah berkata, usaha mengurangkan halangan kepada perniagaan juga mampu membuka peluang pasaran lebih luas termasuk dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Forum sehari bertemakan ‘Bridging the Two Borders: Elevating Thailand-Malaysia Resilient Value Chains in Halal and Rubber Industries’ itu dianjurkan Kedutaan Diraja Thailand.
Sementara itu, Duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas berkata, kedua-dua negara akan mempergiat usaha memperluaskan ekosistem halal melangkaui sektor makanan termasuk produk farmaseutikal dan kosmetik bagi mencapai sasaran perdagangan berkenaan.-SAHIH
Sumber /:BERNAMA
#kw: Malaysia Thailand, industri halal, getah, perdagangan
