Rais Yatim mengaku tidak bersalah pertuduhan menghasut
Rais Yatim mengaku tidak bersalah pertuduhan menghasut
AYER KEROH: Pengerusi Parti Wawasan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat, atas pertuduhan menghasut berkaitan kenyataan dibuat pada Jun lalu.
Rais, 84, yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan menghasut berkaitan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 serta menyeru supaya taat setia diberikan kepadanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Parkroyal A’Famosa Melaka Resort, Jalan Kemus, Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira 1 tengah hari pada 5 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum berdasarkan Subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar yang memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Rais yang diwakili lima peguam termasuk anaknya, Danni, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira kerjasama diberikan tertuduh termasuk hadir ke mahkamah walaupun dimaklumkan mengenainya pada malam sebelumnya.
Mahkamah kemudian membenarkan Rais diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Rais Yatim, menghasut, Mahkamah Sesyen, Akta Hasutan
