Tourism Malaysia mahu peruntukan lebih besar buru 47 juta pelancong
Tourism Malaysia mahu peruntukan lebih besar buru 47 juta pelancong
Kuala Lumpur: Tourism Malaysia berharap peruntukan lebih tinggi diberikan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperhebat promosi antarabangsa dalam usaha mencapai sasaran 47 juta ketibaan pelancong menerusi Kempen Melawat Malaysia 2026-2027.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, peningkatan peruntukan penting bagi memastikan usaha mempromosikan Malaysia dapat diteruskan dan negara kekal berdaya saing dalam pasaran pelancongan antarabangsa.
Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah mengemukakan permohonan peruntukan lebih tinggi berbanding tahun lalu selepas mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan.
“Usaha mempromosikan dan memperkenalkan Malaysia perlu diteruskan supaya kita kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa kerana seperti kita tahu, ia agak mencabar,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Pakej Pelancongan Pendidikan Edu+ 2.0, EatVenture dan Taste of Orchard sempena Kempen Melawat Malaysia 2026-2027, Rabu.
Mohd Amirul berkata, sektor pelancongan memberi kesan limpahan luas kepada masyarakat dan tidak hanya membabitkan hotel serta restoran, malah pengusaha produk dan perkhidmatan berkaitan pelancongan.
Katanya, peruntukan lebih besar juga penting bagi memastikan sektor berkenaan terus berdaya tahan, termasuk menerusi penganjuran acara berskala antarabangsa.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jumlah ketibaan pelawat antarabangsa meningkat 2.5 peratus kepada 21.1 juta berbanding 20.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi perbelanjaan pelancongan domestik pada suku pertama tahun ini pula meningkat 15.8 peratus kepada RM34 bilion berbanding RM29.4 bilion pada suku pertama 2025.
Jumlah pelawat domestik turut meningkat 7.2 peratus kepada 74.7 juta berbanding 69.7 juta dalam tempoh sama.
Mohd Amirul berkata, meskipun perkembangan itu positif, prestasi berkenaan masih belum mencapai sasaran Kempen Melawat Malaysia susulan kesan konflik di Timur Tengah sejak awal Mac lalu.
Kerajaan bagaimanapun kekal menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa bagi memastikan momentum promosi negara terus diperkukuh tanpa terlalu terjejas oleh faktor luaran termasuk konflik geopolitik.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: TourismMalaysia Belanjawan2027 Pelancongan VMY2026
