WSC Shanghai medan ukur tahap kemahiran belia Malaysia
WSC Shanghai medan ukur tahap kemahiran belia Malaysia
SHANGHAI: Penyertaan kontinjen Malaysia pada WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 bukan semata-mata memburu pingat, sebaliknya menjadi medan penting mengukur tahap kemahiran belia negara berbanding piawaian antarabangsa.
Chef de Mission WSC Shanghai 2026, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kejohanan berprestij itu turut membuka ruang kepada negara mempelajari teknologi terkini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai disiplin kemahiran.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pendedahan serta pemindahan ilmu berkenaan penting dalam usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
“Bukan hanya kita nak menang emas, tetapi yang penting, lebih penting daripada itu kita ingin menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang memiliki kemahiran tinggi dan kita ingin ‘benchmark’ tahap kita itu dengan peringkat antarabangsa.
“Kita tahu pertandingan ini melibatkan 70 negara, 1,400 peserta, oleh itu tentulah kita boleh belajar,” katanya.
Menurut Ahmad, penyertaan di pentas antarabangsa turut memberi peluang kepada Malaysia mempamerkan kemampuan tenaga kerja mahir negara sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur asing.
Katanya, keupayaan peserta TVET negara bersaing dengan bakat terbaik dunia secara tidak langsung mampu menjadi nilai tambah dalam menarik pelaburan baharu.
“Apabila melibatkan banyak negara, tentulah ada peluang pelaburan negara kita bagi melihat TVET dan kemahiran ini diperkenalkan di peringkat dunia dan pelabur-pelabur merasa yakin dengan ‘capability’, keupayaan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, WSC juga dianggap kemuncak perjalanan pelatih TVET selepas melalui persaingan dan pemilihan bermula di peringkat kebangsaan sebelum membawa cabaran negara ke pentas dunia.
Malaysia mempertaruhkan 22 peserta muda dalam 21 bidang kemahiran pada WSC Shanghai 2026 yang menghimpunkan kira-kira 1,400 peserta muda dari seluruh dunia.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#WorldSkills #TVET #KemahiranBelia #Malaysia
