Tiga pelakon teater didakwa persenda Rukun Negara ditahan
Tiga pelakon teater didakwa persenda Rukun Negara ditahan
Kuala Lumpur: Polis menahan tiga pelakon yang dikenal pasti terbabit dalam pementasan teater yang didakwa mempersenda Rukun Negara pada 2018 bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ketiga-tiga individu berkenaan ditahan di Selangor dan Johor, Sabtu lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, polis mengenal pasti lima pelakon terbabit dalam pementasan berkenaan, namun seorang daripadanya sudah meninggal dunia manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen.
“Daripada lima pelakon ini, tiga orang kita tangkap untuk siasatan lanjut tetapi sudah diberi jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
“Seorang sudah meninggal dunia dan seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom. Pengarah pementasan ini juga berasal dari United Kingdom,” katanya.
Kumar berkata, hasil pemeriksaan terhadap tiga individu terbabit mendapati tiada rakaman pementasan atau kandungan berkaitan Rukun Negara ditemui dalam telefon, gajet mahupun akaun media sosial mereka.
Menurutnya, pementasan itu berlangsung secara tertutup di Penang Art Center (PAC), Pulau Pinang pada 2018 dan tiada laporan polis dibuat berhubung persembahan terbabit ketika itu.
Katanya, polis masih menyiasat latar belakang kumpulan teater berkenaan serta keadaan ketika pementasan berlangsung.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kumar berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara selepas siasatan dilengkapkan untuk arahan dan nasihat selanjutnya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih siasatan selepas laporan dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak susulan penularan video berdurasi kira-kira 10 minit.
Video itu memaparkan lima pelakon membacakan prinsip Rukun Negara yang diselangi sindiran serta kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti perkauman.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Rukun Negara, tiga pelakon, Bukit Aman, pementasan teater
