Kerajaan kaji keberkesanan Dasar Gaji Progresif
Kerajaan kaji keberkesanan Dasar Gaji Progresif
Putrajaya: Kerajaan akan menjalankan kajian komprehensif hujung tahun ini atau awal tahun depan bagi menilai keberkesanan Dasar Gaji Progresif dalam meningkatkan pendapatan pekerja.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kajian itu antara lain akan meneliti kaedah pemberian insentif kerajaan serta tindakan sukarela majikan dalam meningkatkan gaji pekerja.
Katanya, Dasar Gaji Progresif kini masih dalam tempoh pelaksanaan yang dijadualkan berakhir pada penghujung 2027.
“Dari segi Dasar Gaji Progresif, ia memang dalam pelaksanaan ketika ini dan tempohnya akan berakhir pada penghujung 2027.
“Tetapi bagi penilaian keberkesanannya, kita memang minta supaya satu kajian komprehensif dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, semalam.
Menurut Akmal Nasrullah, pemberian insentif di bawah dasar berkenaan perlu disertai peningkatan produktiviti pekerja termasuk menerusi latihan dan pendedahan bersesuaian.
Katanya, pemberian insentif semata-mata tidak mencukupi sekiranya majikan tidak mengambil tindakan susulan untuk meningkatkan produktiviti tenaga kerja.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji benar meningkat 3.3 peratus kepada RM2,104.
Menurutnya, peningkatan itu akan dijadikan antara garis dasar kerajaan dalam memberi tumpuan kepada usaha menaikkan tangga gaji pekerja menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Akmal Nasrullah berkata, isu gaji perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi perlindungan melalui gaji minimum, peningkatan tangga gaji serta pemberian gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi.
Katanya, peningkatan gaji juga perlu mengambil kira perbezaan kos sara hidup mengikut lokaliti termasuk keperluan isi rumah, sewa, makanan, pengangkutan dan pendidikan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Gaji Progresif, pendapatan pekerja, Akmal Nasrullah, RMK13
