KPN mohon RM550.7 juta perkasa agenda negara bangsa
KPN mohon RM550.7 juta perkasa agenda negara bangsa
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memohon peruntukan RM550.7 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi melaksanakan enam inisiatif utama berteraskan pembinaan negara bangsa.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, permohonan itu akan dibincangkan dengan Menteri Kewangan dengan semua inisiatif memberi tumpuan kepada perkongsian identiti bersama, pengukuhan perpaduan nasional serta keharmonian masyarakat.
Enam inisiatif berkenaan merangkumi Perpaduan dan Identiti Nasional, Keharmonian Komuniti, Ini Warisan Kita, Pendigitalan Khazanah Negara, naik taraf premis perpaduan serta geran padanan membabitkan muzium, arkib dan perpustakaan.
“Kesemua permohonan peruntukan inisiatif bagi 2027 akan selaras dengan fokus kementerian iaitu pembinaan negara bangsa yang menekankan kepentingan perkongsian identiti bersama, menyemarak perpaduan nasional dan keharmonian di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Penceritaan Malaysia 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia, semalam.
Antara program dicadangkan di bawah Perpaduan dan Identiti Nasional ialah Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP MADANI), Jelajah Belia Rukun Negara, Jalinan Integrasi Nasional, Citra Nusa Muzium, Semarak Advokasi Arkib dan Nadi Budaya Ilmu.
Bagi Keharmonian Komuniti pula, antara program dirancang ialah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif dan Mediator Komuniti.
Aaron berkata, permohonan itu turut meliputi usaha menaik taraf Tabika Perpaduan, arkib dan perpustakaan desa selain pendigitalan kemudahan serta koleksi di bawah agensi kementerian.
Katanya, ketika ini terdapat 506 perpustakaan desa, 10 memorial serta 22 muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia yang turut termasuk dalam skop cadangan berkenaan.
Dalam Belanjawan 2026, KPN menerima RM136 juta termasuk RM55 juta masing-masing untuk KRT dan aktiviti perpaduan, RM20 juta menaik taraf Tabika Perpaduan, RM5 juta geran padanan muzium dan RM1 juta bagi budaya etnik Siam.
Kementerian itu turut diperuntukkan RM650.48 juta untuk perbelanjaan mengurus serta RM117.52 juta bagi perbelanjaan pembangunan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Belanjawan 2027, KPN, Aaron Ago Dagang, perpaduan
