Runtuhan tebing, Jalan Buli Sim-Sim ditutup lima hari
Runtuhan tebing, Jalan Buli Sim-Sim ditutup lima hari
SANDAKAN: Laluan Jalan Buli Sim-Sim dan trek pendakian di kawasan berkenaan ditutup sementara selama lima hari bermula hari ini hingga Sabtu susulan kejadian runtuhan tebing di Bukit Sim-Sim, di sini.
Penutupan bermula 22 hingga 26 September itu dilaksanakan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berikutan keadaan tanah yang masih berisiko.
Kejadian runtuhan tebing berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.05 malam, semalam.
Susulan kejadian itu, Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan pemantauan di lokasi bagi menilai tahap kestabilan tanah serta mengenal pasti risiko kemungkinan berlaku runtuhan susulan.
Pemantauan itu juga mengambil kira keadaan cuaca terutama hujan lebat yang boleh meningkatkan kandungan air dalam tanah sekali gus menjejaskan kestabilan cerun.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan terbabit sepanjang tempoh penutupan dan mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan yang dipasang.
Langkah berkenaan penting bagi memberi ruang kepada pihak teknikal menjalankan pemeriksaan dan penilaian terperinci sebelum laluan berkenaan disahkan selamat untuk digunakan semula.
Status pembukaan Jalan Buli Sim-Sim dan trek pendakian itu dijangka bergantung kepada hasil penilaian tahap kestabilan cerun serta keadaan semasa di lokasi.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Bukit Sim-Sim, runtuhan tebing, JKR, Sandakan
