Jangan guna kaum bila terdesak – Anwar
Jangan guna kaum bila terdesak – Anwar
MELAKA: Parti politik diingatkan supaya tidak menjadikan isu perkauman sebagai ‘senjata’ untuk meraih sokongan apabila berdepan tekanan atau berada dalam keadaan terdesak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, taktik memainkan sentimen kaum sering muncul apabila berlaku pergolakan politik dan sokongan terhadap sesuatu pihak mula berubah.
“Bila dah gaduh, semua tarik sokongan, guna isu kaum. Bila terdesak, guna lagi isu kaum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia ke-41 di Encore, Melaka.
Anwar berkata, selepas 69 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat tidak seharusnya terus terperangkap dalam perdebatan mengenai kelangsungan sesuatu kaum semata-mata.
Menurutnya, kebimbangan mengenai kelangsungan kaum mungkin boleh difahami ketika negara berada di ambang kemerdekaan pada 1940-an dan 1950-an serta ketika Malaysia masih sebuah negara muda pada 1960-an.
Namun katanya, selepas hampir tujuh dekad merdeka, tumpuan perlu beralih kepada kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu dan dibina atas kekuatan semua kaum.
Beliau berkata, setiap suara kini perlu memberi perhatian kepada masa depan negara dan generasi akan datang tanpa mengira siapa yang diberi mandat untuk memimpin.
Katanya, mana-mana pihak yang mendapat sokongan rakyat perlu berjanji untuk melindungi rakyat, menjaga negara serta memastikan masa depan anak-anak terjamin sebagai sebuah bangsa Malaysia.
Anwar turut menyeru rakyat kembali kepada kekuatan bersama dan tidak membiarkan perbezaan kaum menjadi punca perpecahan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap rasuah dan salah guna kuasa serta akan meneruskan usaha membersihkan negara daripada amalan berkenaan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw Anwar Ibrahim, isu perkauman, perpaduan, Melaka
