Jangan tunggu kanser payudara sampai tahap tiga, empat
Jangan tunggu kanser payudara sampai tahap tiga, empat
Kuala Lumpur: Wanita digesa tidak menunggu sehingga kanser payudara berada pada tahap serius sebelum mendapatkan rawatan, sebaliknya tampil menjalani pemeriksaan awal bagi meningkatkan peluang pengesanan dan rawatan lebih berkesan.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, masih ramai wanita keberatan menjalani pemeriksaan payudara, termasuk kerana kurang selesa apabila diperiksa.
Katanya, sikap menangguhkan pemeriksaan sehingga keadaan kesihatan semakin teruk terus menjadi antara cabaran dalam usaha mengesan penyakit itu pada peringkat awal.
“Ramai wanita kita tidak menjalani saringan. Ada yang keberatan untuk membenarkan seseorang memeriksa mereka, jadi kita perlu melakukan sesuatu bagi menggalakkan mereka tampil.
“Kita tidak mahu mereka mendapatkan rawatan hanya apabila penyakit sudah mencapai tahap tiga atau empat kerana ketika itu mungkin sudah agak lewat,” katanya.
Wan Azizah berkata, menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), penerima yang layak serta pasangan berusia 40 tahun ke atas boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma termasuk pemeriksaan klinikal payudara.
Menurutnya, wanita yang layak juga boleh mendapatkan saringan mamogram bersubsidi melalui program dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan melahirkan generasi baharu profesional penjagaan kesihatan yang bersedia menghadapi perkembangan pesat dalam bidang rawatan payudara.
Katanya, doktor muda, penyelidik, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu perlu diberikan bimbingan tersusun serta pendedahan awal kepada amalan pelbagai disiplin.
Mereka juga perlu digalakkan bertanya, terbabit dalam audit klinikal serta menerajui program kesedaran masyarakat.
Wan Azizah berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan terapi sasaran termaju kini mengubah landskap penjagaan kanser payudara dengan pantas, namun inovasi teknologi perlu sentiasa dipandu oleh pertimbangan manusia serta nilai belas ihsan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw kanser payudara, Wan Azizah, saringan awal, PeKa B40
