Ukraine mahu ASEAN terus pertahan prinsip kedaulatan, undang-undang antarabangsa
Ukraine mahu ASEAN terus pertahan prinsip kedaulatan, undang-undang antarabangsa
Kyiv: Ukraine melihat ASEAN mempunyai peranan penting dalam mempertahankan prinsip kedaulatan, integriti wilayah dan undang-undang antarabangsa ketika perang di negara itu masih berlanjutan.
Timbalan Menteri Luar Ukraine, Maryana Betsa berkata, negara anggota ASEAN boleh menyumbang dengan terus menegakkan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk menerusi kedudukan masing-masing dalam organisasi antarabangsa dan Perhimpunan Agung PBB.
Betsa yang ditemui di Kyiv berkata, Ukraine menghargai peranan negara ASEAN dalam menyokong kedaulatan dan integriti wilayah negara itu, termasuk menerusi pendirian dalam resolusi berkaitan Ukraine.
ASEAN sebelum ini secara rasmi menegaskan penghormatan terhadap kedaulatan, kemerdekaan politik dan integriti wilayah serta menyeru pematuhan kepada Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa dalam menangani perang di Ukraine.
Pencerobohan berskala penuh Rusia ke atas Ukraine bermula pada Februari 2022 dan perang berterusan sehingga kini, meskipun pelbagai usaha diplomatik antarabangsa dilaksanakan bagi mencari penyelesaian.
Betsa berkata, konflik itu turut membawa implikasi lebih luas termasuk gangguan terhadap pelayaran maritim di Laut Hitam yang memberi kesan kepada keselamatan makanan serta penghantaran bekalan ke Afrika dan negara lain.
Menurutnya, isu kedaulatan dan integriti wilayah bukan hanya membabitkan Ukraine kerana prinsip berkenaan menjadi asas kepada Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa.
Beliau pada masa sama memberi amaran terhadap usaha membahagikan dunia kepada lingkungan pengaruh tertentu sehingga prinsip kekuatan mengatasi kedaulatan undang-undang.
Betsa turut membangkitkan kebimbangan mengenai propaganda, maklumat palsu dan maklumat salah berkaitan perang berkenaan yang menurutnya masih kuat di beberapa negara, termasuk dalam kalangan negara Selatan Global.
Kementerian Luar Ukraine sebelum ini turut merekodkan pendirian Betsa mengenai kepentingan mempertahankan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa dalam konteks perang berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Ukraine, ASEAN, Maryana Betsa, kedaulatan
