Razak ucap tahniah kepada Najib susulan perkenan tahanan rumah
Razak ucap tahniah kepada Najib susulan perkenan tahanan rumah
JERANTUT: Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud merakamkan ucapan tahniah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Razak berkata, beliau menyambut baik perkembangan terbaharu itu dan berharap keputusan berkenaan memberi ruang kepada Najib untuk menjalani baki hukuman bersama keluarga mengikut segala syarat yang ditetapkan.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Najib kerana mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
“Kita menghormati keputusan serta proses yang sudah ditetapkan dan mendoakan segala urusan beliau dipermudahkan,” katanya.

Hari ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta selain Najib diwajibkan mematuhi syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh tahanan rumah.
Menurut BHEUU, sekiranya mana-mana syarat berkenaan tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.
Sebelum ini, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.-SAHIH
#kw Najib Razak, tahanan rumah, Razak Daud, Lembaga Pengampunan
