Semangat Hari Malaysia berkibar di Panama
Semangat Hari Malaysia berkibar di Panama
PANAMA CITY: Meskipun berada ribuan kilometer dari tanah air, semangat Hari Malaysia tetap dibawa ke pentas antarabangsa apabila delegasi Malaysia menyambut hari bersejarah itu di Panama Convention Centre, Panama.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah mengetuai delegasi negara ke International Cooperative Alliance (ICA) Global Conference and General Assemblies 2026 yang berlangsung dari 13 hingga 18 September.
Kehadiran delegasi Malaysia bukan sahaja membawa nama negara, malah memperkukuh kedudukan dan peranan gerakan koperasi Malaysia dalam jaringan koperasi global.
Persidangan berkenaan menghimpunkan pemimpin, pengamal dan wakil gerakan koperasi dari pelbagai negara bagi membincangkan hala tuju, pembangunan serta kerjasama strategik sektor koperasi dunia.
Menurut jadual rasmi ICA, persidangan dan siri perhimpunan di Panama berlangsung sepanjang minggu berkenaan dengan Persidangan Global diadakan pada 16 dan 17 September di Panama Convention Centre.
Perhimpunan Agung ICA pula berlangsung pada 15 September dan turut menyaksikan pemilihan barisan Lembaga Global ICA baharu bagi penggal 2026 hingga 2030.
Abdul Fattah sebelum ini dipilih sebagai seorang daripada Ahli Lembaga At-Large ICA, sekali gus membuka ruang lebih besar kepada Malaysia untuk menyumbang pandangan dalam agenda dan hala tuju gerakan koperasi antarabangsa.
Dalam suasana persidangan berkenaan, delegasi Malaysia turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan Selamat Hari Malaysia dari Panama sebagai simbol semangat patriotisme yang terus dibawa walaupun berada di luar negara.
Penyertaan itu sekali gus mencerminkan usaha gerakan koperasi Malaysia untuk terus memperluas jaringan, perkongsian pengalaman dan kerjasama dengan organisasi koperasi antarabangsa.
Persidangan ICA tahun ini membawa tema “Building Bridges: Cooperative Contributions for a Peaceful World”, dengan program utama berlangsung di Panama Convention Centre.-SAHIH
#kw Hari Malaysia, Abdul Fattah Abdullah, ANGKASA, ICA
