Abdul Fattah mula peranan rasmi dalam Lembaga Global ICA
Abdul Fattah mula peranan rasmi dalam Lembaga Global ICA
PANAMA: Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah memulakan secara rasmi peranannya sebagai Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) selepas menyertai mesyuarat pertama barisan Lembaga Global ICA yang baharu dipilih di Panama.
Mesyuarat itu berlangsung pada 15 September lalu sejurus selesai Perhimpunan Agung ICA 2026 yang menyaksikan Abdul Fattah dipilih mewakili Malaysia sebagai seorang daripada 15 Ahli Lembaga At-Large bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pertemuan pertama berkenaan dipengerusikan Presiden ICA, Dr Ariel Guarco dan menghimpunkan barisan Ahli Lembaga Global ICA yang baharu.
Mesyuarat itu menjadi platform awal bagi kepimpinan baharu ICA menyelaras aspek tadbir urus, memperincikan peranan serta membincangkan hala tuju dan keutamaan organisasi bagi tempoh empat tahun akan datang.
Dalam pertemuan berkenaan, Ariel turut memaklumkan hasrat Rabobank untuk menjalinkan kerjasama dengan koperasi anggota ICA dalam pelbagai bidang perniagaan.
Langkah itu dijangka membuka lebih banyak ruang jaringan strategik dan kerjasama ekonomi antara gerakan koperasi di peringkat antarabangsa.
Kedudukan Abdul Fattah dalam Lembaga Global ICA turut membuka ruang lebih luas kepada ANGKASA untuk membawa suara dan kepentingan gerakan koperasi Malaysia dalam perbincangan, tadbir urus serta agenda pembangunan koperasi dunia.
ICA sendiri menyenaraikan Abdul Fattah sebagai Presiden ANGKASA sejak 2013 selain mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam pembangunan koperasi belia dan komuniti.
Sementara itu, Ahli Lembaga ICA dari China, Yuyan Wang turut mengalu-alukan anggota Lembaga Global ICA menghadiri mesyuarat seterusnya yang dijadual berlangsung di Shanghai, China pada November depan.
Mesyuarat berkenaan akan menjadi kesinambungan kepada agenda dan kerjasama kepimpinan baharu ICA bagi penggal 2026 hingga 2030.
Turut hadir, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail.-SAHIH
#kw Abdul Fattah Abdullah, ICA, ANGKASA, koperasi
