Anggota tentera didakwa sepak anak lima tahun
Anggota tentera didakwa sepak anak lima tahun
KOTA BHARU: Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan kandungnya berusia lima tahun dengan menyepak mangsa, Jumaat lalu.
Tertuduh, Mohamed Nisa Mohamed Nasir, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Nisa didakwa menganiaya anaknya berusia lima tahun dengan menyepak mangsa di sebuah kedai makan di Kota Bharu pada malam 11 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Peguam bela, Zuhaidie Akmal Hasan Basri memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan alasan anak guamnya sudah berkhidmat sebagai anggota tentera selama 19 tahun dan mempunyai tiga anak.
Beliau turut memaklumkan isteri tertuduh memerlukan rawatan hemodialisis dan bergantung kepada Mohamed Nisa untuk membawanya mendapatkan rawatan di hospital secara berkala.
Menurutnya, tertuduh juga tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan atau aduan keganasan rumah tangga selain tidak berisiko melarikan diri kerana tertakluk kepada kawalan pasukannya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Tertuduh turut dikenakan beberapa syarat termasuk tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan, terutama mangsa.
Selain itu, dia dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya memilikinya dan melaporkan diri di Balai Polis Pengkalan Chepa atau balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw anggota tentera, aniaya anak, Mahkamah Sesyen, Kota Bharu
