‘Khadam’ tembus Asia, buka pintu edaran dunia
‘Khadam’ tembus Asia, buka pintu edaran dunia
KUALA LUMPUR: Selepas meraih kutipan lebih RM5 juta di pawagam Malaysia, filem seram dramatik tempatan, Khadam kini melebarkan sayap ke pasaran Asia sebelum membuka peluang pengedaran dan jualan antarabangsa ke seluruh dunia.
Filem arahan Shamyl Othman itu yang diterbitkan Komet Productions dan Red Communications sudah menemui penonton di Kemboja dan Singapura, sebelum dijadualkan memasuki pasaran Indonesia pada 16 September ini.
Momentum Khadam turut berterusan apabila filem itu mula mendapat perhatian dan tular di media sosial Hong Kong menjelang tayangan pawagam di negara berkenaan pada 8 Oktober depan.
Menurut kenyataan media, sambutan menggalakkan di rantau ini mendorong pihak penerbit membuka peluang hak pengedaran antarabangsa di luar Asia Tenggara.
Khadam mula ditayangkan di lebih 120 pawagam di Malaysia dan Brunei pada 11 Jun lalu dengan meraih RM1.2 juta pada minggu pembukaan.
Kutipannya meningkat kepada RM2.6 juta dalam tempoh seminggu sebelum melonjak melebihi RM5 juta di pawagam Malaysia menjelang awal Julai, sekali gus meletakkannya antara filem tempatan yang mencatat prestasi menonjol tahun ini.
Selain kejayaan komersial, filem berkenaan turut menerima maklum balas positif daripada penggiat industri termasuk pengarah veteran Erma Fatima dan pelakon Sofea Jane, selain mendapat perhatian menerusi kekuatan skrip, lakonan serta reka bentuk bunyi.
Berlatarbelakangkan era 1950-an, Khadam mengisahkan Melor yang terpaksa mewarisi ‘saka’ selepas kematian ibunya.
Entiti berkenaan kemudian perlahan-lahan mengambil alih kehidupannya dengan menjelma sebagai gambaran dirinya yang ideal sebagai isteri dan ibu sehingga Melor terpaksa berjuang mempertahankan identiti serta keluarganya.
Filem itu menampilkan pelakon Indonesia Aghniny Haque sebagai Melor bersama Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’ El dan penampilan khas Jun Lojong.
Kerjasama produksi Khadam turut membabitkan rakan serantau dari Indonesia, Hong Kong dan India serta mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).-SAHIH
#kw Khadam, filem tempatan, box office, pawagam Asia
