Wakalah zakat perlu bantu penerima berdikari
Wakalah zakat perlu bantu penerima berdikari
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Wakalah Agihan Zakat ANGKASA perlu dilihat sebagai mekanisme memperkasa ekonomi penerima dan bukan sekadar bantuan bagi memenuhi keperluan jangka pendek.
Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, pendekatan itu penting bagi membantu penerima membina kehidupan lebih kukuh, berdaya tahan dan akhirnya mampu berdikari.
Menurutnya, dana wakalah yang diamanahkan kepada ANGKASA perlu disalurkan secara terancang melalui ANGKASA Negeri dan koperasi supaya manfaatnya sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Setiap ringgit yang diamanahkan perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya agar benar-benar memberi impak kepada penerima,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Penerima Wakalah Agihan Zakat ANGKASA (2024) Negeri Selangor di ibu pejabat ANGKASA, semalam.
Beliau berkata, amanah, ketelusan dan integriti perlu menjadi asas pengurusan dana zakat bagi memastikan setiap peruntukan digunakan mengikut tujuan ditetapkan.
Katanya, inisiatif itu selari dengan peranan gerakan koperasi dalam meningkatkan taraf ekonomi masyarakat menerusi pendekatan lebih tersusun dan mampan.
Pada masa sama, wakalah zakat diharap mampu menjadi instrumen memperkasa penerima sehingga mereka keluar daripada kelompok penerima dan seterusnya berupaya menyumbang kembali kepada masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Prof Dr Haji Mansor Ahmad berkata, pada 2025 pihaknya menerima RM124,376.96 bagi agihan zakat wakalah tahun 2023 yang disalurkan kepada 10 koperasi dan dua agensi.
Menurutnya, bagi tahun ini pula, ANGKASA Selangor menerima RM128,451.15 bagi pelaksanaan agihan zakat wakalah tahun 2024.
Jumlah itu akan disalurkan kepada 12 koperasi dengan anggaran RM10,704.26 bagi setiap koperasi.
Beliau berkata, peningkatan jumlah agihan menunjukkan keyakinan terhadap peranan ANGKASA dan gerakan koperasi dalam melaksanakan tanggungjawab sosial.
Namun, katanya, perkara lebih penting ialah memastikan amanah berkenaan sampai kepada penerima yang layak dan benar-benar memberi perubahan kepada kehidupan mereka.
Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA, Dr Shaharina Abdullah.-SAHIH
#kw ANGKASA, wakalah zakat, koperasi, Selangor
