Anak syarikat bermasalah perlu segera ubah model perniagaan
Anak syarikat bermasalah perlu segera ubah model perniagaan
GENTING HIGHLANDS: Anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang berdepan kemerosotan prestasi digesa segera mengubah model perniagaan dan mencari alternatif baharu bagi memastikan kelangsungan operasi.
Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, setiap anak syarikat perlu kekal fokus kepada hala tuju ditetapkan ANGKASA serta memastikan pelan strategik perniagaan dilaksanakan sehingga mencapai sasaran.
Menurutnya, prestasi setiap anak syarikat akan dinilai semula dan langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan berdasarkan situasi semasa perniagaan.
“Setiap Lembaga diharap meningkatkan momentum dan tidak meletakkan agenda peribadi serta menekankan budaya kerja berlandaskan integriti di semua peringkat kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Bengkel Semakan dan Catch-up Strategy Perniagaan ANGKASA 2026 di Awana Resort, di sini.
Bengkel selama tiga hari bermula 11 hingga 13 September itu diadakan bagi menilai semula prestasi perniagaan kumpulan dan anak syarikat selain merangka pelan tindakan susulan sehingga Disember 2026.
Ia turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti masalah dihadapi setiap projek dan anak syarikat, menilai keberkesanan strategi sedia ada serta menyediakan kerangka hala tuju perniagaan lebih komprehensif sehingga 2030.
Abdul Rahman turut mengingatkan supaya pengauditan prestasi dan risiko serta semakan usaha wajar dilaksanakan secara menyeluruh sebelum sesuatu keputusan perniagaan dibuat.
“Jangan pandang remeh kerana semua pihak bertanggungjawab terhadap risiko yang bakal dihadapi,” katanya.
Menurutnya, sesuatu peluang perniagaan tidak seharusnya dipilih hanya kerana potensi semasa, sebaliknya perlu melalui analisis kebolehlaksanaan secara terperinci.
Sementara itu, setiap pengurus, ketua projek dan ketua anak syarikat diarahkan menyediakan catch-up plan masing-masing untuk menilai pencapaian sasaran sehingga Disember ini.
Sekiranya sesuatu aktiviti perniagaan terus merosot, puncanya perlu dikenal pasti dan tindakan segera diambil termasuk membabitkan aspek sumber manusia, proses serta sistem.
Bengkel yang dipengerusikan Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fungsi Perniagaan ANGKASA dan Jaringan Anak Syarikat (CEP1), Haji Zaharuddin Alias itu turut menekankan tadbir urus kewangan telus, penyusunan sumber manusia secara strategik serta pemantapan jenama dan pemasaran.
Hasil bengkel berkenaan dijangka menjadi asas kepada pelan tindakan lebih berimpak bagi memperkukuh prestasi perniagaan ANGKASA dan anak syarikat sehingga 2030.-SAHIH
#kw ANGKASA, anak syarikat, tadbir urus, perniagaan
