Kesilapan sistemik urusan penjawat awam mesti dihentikan
Kesilapan sistemik urusan penjawat awam mesti dihentikan
PUTRAJAYA: Kesilapan sistemik dalam pengurusan sumber manusia termasuk urusan kenaikan pangkat dan penilaian prestasi tidak boleh terus dibiarkan berlaku dalam perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kelemahan dalam proses itu perlu diperbaiki secara menyeluruh supaya pengurusan penjawat awam menjadi lebih cekap, telus dan berkesan.
Menurutnya, perubahan tidak boleh hanya berlaku pada peringkat dasar, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan kerja yang lebih moden serta kesediaan warga perkhidmatan awam menerima pembaharuan.
Beliau berkata, penjawat awam perlu keluar daripada pendekatan lama yang tidak lagi sesuai dengan tuntutan semasa, terutama ketika kerajaan berdepan jangkaan masyarakat yang semakin tinggi terhadap mutu penyampaian perkhidmatan.
Katanya, proses berkaitan pembangunan kerjaya, pengurusan prestasi dan kenaikan pangkat perlu dilaksanakan dengan lebih tersusun bagi mengelakkan berlakunya kelemahan berulang yang boleh menjejaskan keyakinan warga organisasi.
“Transformasi organisasi memerlukan perubahan cara berfikir, cara bekerja dan keberanian untuk meninggalkan amalan yang tidak lagi relevan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam 2026.
Wan Ahmad Dahlan berkata, penjawat awam juga perlu lebih terbuka mengadaptasi pendekatan baharu, termasuk amalan pengurusan moden yang mampu meningkatkan produktiviti serta kecekapan organisasi.
Menurutnya, pembaharuan dalam pengurusan sumber manusia penting bagi memastikan perkhidmatan awam kekal berdaya saing dan mampu memenuhi piawaian global.
Pada masa sama, transformasi berkenaan perlu memberi kesan langsung kepada rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, berimpak tinggi dan responsif.
Katanya, kejayaan reformasi perkhidmatan awam bergantung kepada komitmen seluruh warga organisasi untuk menerima perubahan dan menjadikan kecemerlangan sebagai budaya kerja.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw perkhidmatan awam, KPPA, sumber manusia, reformasi
