Dapatan usaha banteras scam dibawa ke Jemaah Menteri
Dapatan usaha banteras scam dibawa ke Jemaah Menteri
KUALA LUMPUR: Dapatan jawatankuasa kerja khusus yang ditubuhkan kerajaan bagi menangani jenayah scam akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk penelitian dan tindakan lanjut.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa berkenaan unik kerana buat pertama kali menghimpunkan bank komersial, syarikat telekomunikasi serta platform digital dalam satu kerangka kerjasama.
Menurutnya, beberapa siri perbincangan sudah diadakan bagi mengenal pasti kelompangan undang-undang selain memperkukuh kerjasama antara agensi yang terbabit dalam siasatan jenayah scam.
“Jawatankuasa kerja ini unik sebab buat pertama kalinya kita ada keterlibatan bank-bank komersial, penglibatan telco dalam jawatankuasa tersebut.
“Termasuk salah satu daripada banyak platform, TikTok termasuk dalam jawatankuasa itu,” katanya.
Fahmi berkata, jawatankuasa itu turut membabitkan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial selain beberapa platform digital.
Katanya, penglibatan pelbagai pihak penting bagi memastikan tindakan membanteras jenayah scam dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
Menurutnya, beberapa keputusan yang dicapai menerusi perbincangan jawatankuasa berkenaan akan diumumkan selepas laporan berkaitan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan M360 ASEAN 2026 di Kuala Lumpur.
Penubuhan jawatankuasa itu antara usaha kerajaan memperkukuh koordinasi antara agensi penguat kuasa, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan platform digital dalam menangani kegiatan penipuan dalam talian.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw scam, Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, Jemaah Menteri, bank komersial, telco, TikTok, jenayah komersial
