CEO Alam Maritim didakwa tipu kadar sewaan kapal
CEO Alam Maritim didakwa tipu kadar sewaan kapal
KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu berhubung kadar sewaan harian kapal.
Azmi, 67, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama, Azmi didakwa menipu Pegawai Prinsipal TH Alam Management Sdn Bhd, Iskandar Mohd Zaffa dengan menyembunyikan tawaran sebenar ‘Daily Charter Rate’ bertarikh 24 Ogos 2023 yang memperuntukkan kadar RM80,500 sehari di dalam ‘Work Order’.
Perbuatan itu didakwa mendorong Iskandar bersetuju menandatangani ‘BIMCO Supplytime 2017’ dengan ‘Daily Charter Rate’ berjumlah RM70,000 sehari antara Alam-JV DP2 (L) Inc. dan Alam Maritim (M) Sdn Bhd.
Bagi pertuduhan kedua, Azmi didakwa menipu individu sama dengan menyembunyikan tawaran sebenar ‘Daily Charter Rate’ bertarikh 15 Januari 2024 yang memperuntukkan RM110,000 sehari di dalam ‘Work Order’.
Tindakan itu didakwa menyebabkan Iskandar menandatangani ‘BIMCO Supplytime 2017’ dengan kadar RM78,000 sehari antara TH-Alam Management dan Alam Maritim.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohammad Sobry menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melaporkan diri setiap tiga bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan yang mewakili Azmi memohon jaminan dikurangkan kepada RM100,000 dengan alasan jumlah dicadangkan pendakwaan terlalu tinggi selain anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudian membenarkan Azmi diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 November depan bagi serahan dokumen.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Datuk Azmi Ahmad, Alam Maritim Resources, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, penipuan, kadar sewaan kapal, SPRM
