Koperasi pertanian perlu diberi ruang lebih besar dalam MAHA
Koperasi pertanian perlu diberi ruang lebih besar dalam MAHA
SERDANG: Gerakan koperasi khususnya dalam sektor pertanian perlu diberi ruang lebih besar dalam penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) bagi membolehkan mereka bersaing seiring pemain industri swasta.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sektor koperasi ketika ini masih kurang diberi perhatian dalam setiap penganjuran MAHA walaupun mempunyai potensi besar menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan negara.
Menurutnya, usaha mempromosikan koperasi pertanian tidak seharusnya dipikul Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) semata-mata.
Sebaliknya, katanya, kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga perlu memainkan peranan membantu koperasi meningkatkan daya saing.
Beliau turut menyeru koperasi pertanian supaya lebih proaktif serta tidak hanya menunggu peluang atau jemputan untuk menyertai program dan inisiatif berkaitan.
Abdul Fattah berkata demikian dalam temu bual bersama pemberita PELANCAR sempena Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, baru-baru ini.
MAHA 2026 yang berlangsung selama 10 hari mencatat 4,296,662 pengunjung termasuk 1.72 juta golongan belia serta menghimpunkan lebih 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa.
Penganjuran kali ini turut merekodkan jualan langsung RM66.88 juta dan 97 Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan kolaborasi strategik serta jangkaan pelaburan kira-kira RM10.35 bilion.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan penutupan MAHA 2026 berkata, pencapaian itu membuktikan sektor pertanian kekal penting dan kini semakin berkait rapat dengan teknologi moden, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta TVET.
Beliau turut memberi bayangan bahawa peruntukan kepada sektor pertanian dan program KPKM wajar ditambah dalam Belanjawan Negara yang akan dibentangkan Oktober ini, selaras prestasi memberangsangkan sektor berkenaan.-SAHIH
#kw: ANGKASA, Abdul Fattah Abdullah, MAHA 2026, koperasi pertanian, KPKM, KUSKOP, SKM, IKMa, Anwar Ibrahim, MAEPS, agromakanan
