Cuaca panas: Penduduk diingat elak aktiviti luar, pembakaran terbuka
Cuaca panas: Penduduk diingat elak aktiviti luar, pembakaran terbuka
JERANTUT: Penduduk terutama warga peneroka dinasihatkan mengehadkan aktiviti di luar rumah dan mengelakkan pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas serta jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, orang ramai juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai tahap cuaca panas yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Menurutnya, aktiviti sukan, riadah atau sebarang kegiatan di kawasan terbuka terutama ketika matahari terik perlu dikurangkan bagi mengelakkan risiko mengalami masalah kesihatan akibat pendedahan kepada suhu tinggi.
“Orang ramai dinasihatkan banyak minum air dan berehat di tempat teduh, selain tidak berada terlalu lama di kawasan yang terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.
“Sekiranya mengalami tanda seperti suhu badan terlalu panas, sakit kepala, selesema atau demam, segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Razak berkata, ibu bapa juga perlu memberi perhatian kepada pergerakan anak-anak dan memastikan mereka tidak bermain di kawasan terbuka ketika cuaca terlalu panas.
Katanya, pembakaran terbuka juga perlu dielakkan terutama dalam keadaan cuaca panas dan berjerebu kerana tindakan itu boleh memburukkan lagi kualiti udara serta meningkatkan risiko kebakaran.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak-anak mandi di sungai tanpa pemantauan walaupun paras air ketika ini kelihatan surut.
“Keadaan sungai yang surut tidak semestinya selamat kerana kemungkinan terdapat kawasan berpasir jerlus selain arus yang boleh mendatangkan bahaya.
“Keselamatan keluarga terutama kanak-kanak perlu diberi keutamaan. Jangan mengambil mudah keadaan cuaca dan persekitaran ketika ini kerana kecuaian boleh mengundang malapetaka,” katanya.
Beliau berharap semua penduduk mengambil perhatian terhadap langkah berjaga-jaga itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sepanjang tempoh cuaca panas.
#kw: FELDA Jengka 24, Razak Daud, cuaca panas, jerebu, pembakaran terbuka, keselamatan kanak-kanak, sungai, pasir jerlus, Jerantut, peneroka
