249 pemain gegarkan Arena Petanque Hang Jebat
249 pemain gegarkan Arena Petanque Hang Jebat
MELAKA: Seramai 249 pemain mewakili 83 pasukan dari seluruh negara berentap dalam Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026 di Arena Petanque Hang Jebat, Tanjung Kling, di sini, semalam.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan penyertaan daripada pelbagai peringkat, sekali gus menjadi medan mengeratkan hubungan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga gerakan koperasi.
Sebanyak empat kategori utama dipertandingkan iaitu Kategori Koperasi Sekolah Pelajar Lelaki, Koperasi Sekolah Pelajar Perempuan, Koperasi Dewasa Lelaki dan Koperasi Dewasa Perempuan.
Selain itu, Kategori Jemputan ANGKASA turut diadakan bagi memeriahkan kejohanan berkenaan.
Sepanjang pertandingan, pemain dilihat tampil penuh bersemangat dengan sorakan rakan sepasukan yang menghangatkan suasana di arena pertandingan.
Kejohanan yang bermula 5 September itu memasuki kemuncaknya hari ini dengan perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir sebelum disusuli Majlis Perasmian Penutupan.
Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik turut turun gelanggang menyertai pertandingan dalam Kategori Jemputan ANGKASA.
Kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi pentas menguji kemahiran peserta dalam sukan petanque, malah mengeratkan jaringan antara anggota koperasi serta kepimpinan ANGKASA dari seluruh negara.

Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail, Datuk Ibrahim Haji Abdullah dan Zaharudin Alias.
Turut hadir Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Zaidan Abd Hadi, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA negeri-negeri, Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri Melaka serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Datuk Abdullah Jusoh.-SAHIH
#kw: ANGKASA, Petanque ANGKASA 2026, Arena Petanque Hang Jebat, Tanjung Kling, Melaka, koperasi, petanque, Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, 249 pemain, 83 pasukan
