Larian Kebudayaan Orang Utara satukan masyarakat pelbagai latar
Larian Kebudayaan Orang Utara satukan masyarakat pelbagai latar
KANGAR: Semangat perpaduan diterjemahkan dalam suasana santai dan sihat menerusi Larian Kebudayaan Orang Utara 2026 yang menghimpunkan masyarakat pelbagai negeri serta latar belakang di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri, Perlis, semalam.
Program anjuran Yayasan ANGKASA dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Pertubuhan Amal Insan Prihatin Parlimen Padang Besar dan Pertubuhan Alumni 4B Negeri Perlis itu menggabungkan elemen sukan, kebudayaan, komuniti dan koperasi.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, penganjuran program seumpama itu mampu menjadi platform memperkukuh hubungan masyarakat selain memperkenalkan kepelbagaian budaya negara.
Menurutnya, agenda perpaduan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Yayasan ANGKASA, gerakan koperasi, jabatan dan agensi kerajaan serta komuniti setempat.
“Pendekatan whole-of-nation perlu dilaksanakan hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan semangat kebersamaan terus diperkukuhkan dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Beliau berkata, tema Kementerian Perpaduan Negara bagi 2026, “Bersama Membina Negara Bangsa”, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang memberi penekanan terhadap pembinaan negara bangsa.
Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian kaum, agama, budaya, bahasa dan latar belakang masyarakatnya.
Katanya, program itu turut mengetengahkan warisan masyarakat utara khususnya Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak, sekali gus memberi peluang kepada peserta mengenali kepelbagaian budaya dengan lebih dekat.
Menurutnya, semangat perpaduan juga mempunyai hubungan rapat dengan gerakan koperasi yang menyatukan masyarakat untuk bekerjasama, berkongsi manfaat serta membina kekuatan ekonomi secara kolektif.
Program bermula dengan pelepasan peserta larian pada jam 7 pagi termasuk kategori 12 kilometer yang disempurnakan Abdul Fattah, sebelum diteruskan dengan Sukan Perpaduan.
Turut diadakan cabutan bertuah, pertandingan busana terbaik, pameran dan jualan.-SAHIH
#kw: Larian Kebudayaan Orang Utara 2026, Yayasan ANGKASA, ANGKASA, Abdul Fattah Abdullah, perpaduan, Perlis, MRSM Beseri, Kementerian Perpaduan Negara, koperasi, kebudayaan
