Petanque ANGKASA satukan 240 peserta, perkukuh jaringan koperasi
Petanque ANGKASA satukan 240 peserta, perkukuh jaringan koperasi
MELAKA: Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026 bukan sekadar medan memburu kemenangan, sebaliknya menjadi platform memperkukuh semangat kerjasama, disiplin dan persahabatan dalam kalangan warga gerakan koperasi seluruh negara.
Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, elemen diterapkan menerusi sukan itu selari dengan nilai asas yang menjadi tunjang gerakan koperasi.
Beliau berkata, menerusi petanque, peserta dapat mempelajari erti bekerjasama, mematuhi peraturan, mengawal emosi serta berusaha mencapai kejayaan secara berpasukan.
“Nilai-nilai tersebut merupakan nilai asas dalam gerakan koperasi dan saya melihat kejohanan ini lebih merupakan wadah untuk membina perpaduan dan persahabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Puteri Qashrina Chalet, Melaka.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan keusahawanan dan koperasi sebagai sebahagian ekosistem ekonomi rakyat.
Katanya, menerusi Bajet Negeri Melaka 2026, sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi program pemerkasaan koperasi membabitkan kluster mikro dan kariah masjid.
Kerajaan negeri turut menekankan usaha memperluaskan ekosistem keusahawanan menerusi penubuhan Pusat Sehenti Usahawan yang menghimpunkan lebih 10 agensi bagi memudahkan akses kepada pembiayaan serta latihan.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kejohanan tahun ini menghimpunkan seramai 240 pemain dari seluruh negara termasuk penyertaan khas Jawatankuasa ANGKASA Negeri.
Daripada jumlah itu, 192 peserta mewakili 64 pasukan menyertai kategori dewasa dan sekolah dalam acara triple lelaki serta perempuan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa ANGKASA Negeri Melaka atas komitmen menjayakan kejohanan berkenaan.
Majlis turut menyaksikan sesi menandatangani plak perasmian serta pelancaran Logo Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026.-SAHIH
#kw: ANGKASA, petanque, koperasi, Melaka, Abdul Fattah Abdullah, Tuminah Kadi, Kejohanan Petanque ANGKASA 2026, gerakan koperasi, sukan
