KKDW lancar ‘Operasi Sifar Tertangguh’ empat bulan terakhir 2026
KKDW lancar ‘Operasi Sifar Tertangguh’ empat bulan terakhir 2026
Putrajaya: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mahu semua projek, bayaran dan isu pentadbiran yang masih tertangguh diselesaikan segera menerusi pelaksanaan “Operasi Sifar Tertangguh” sepanjang empat bulan terakhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting kerana baki tahun 2026 semakin singkat, manakala kos menyelesaikan sesuatu masalah boleh meningkat sekiranya keputusan terus ditangguhkan.
Sehubungan itu, beliau mahu semakan menyeluruh dilaksanakan bulan ini membabitkan semua projek, bayaran, isu tanah dan utiliti, kontrak, aset serta keputusan yang masih belum diselesaikan.
“Tugas kita bukan membahagi peruntukan semata-mata tetapi memastikan setiap ringgit digunakan, setiap tempat memberi manfaat paling besar kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini, Isnin.
Menurut Ahmad Zahid, setiap isu yang dibangkitkan mesti mempunyai pihak bertanggungjawab, tempoh tindakan serta keputusan yang jelas supaya masalah tidak terus dibawa dari satu mesyuarat ke mesyuarat lain tanpa penyelesaian.
Katanya, kelewatan dalam urusan pengambilan tanah, penyelarasan utiliti, masalah kontraktor, keputusan tertangguh atau kelemahan penyelarasan antara agensi boleh mewujudkan jurang pelaksanaan.
Keadaan itu akhirnya menyebabkan rakyat tidak dapat menikmati manfaat daripada projek pembangunan dalam tempoh sepatutnya.
Beliau turut mahu isu pembayaran kepada kontraktor diberi perhatian serius, terutama bagi kerja yang sudah dilaksanakan dan mencapai tahap kemajuan seperti ditetapkan dalam kontrak.
Ia termasuk projek Jalan Luar Bandar di bawah KKDW yang perlu dipastikan pelaksanaannya tidak terganggu akibat masalah pembayaran.
Ahmad Zahid berkata, dalam keadaan sumber kewangan serta kapasiti pelaksanaan yang terhad, KKDW juga perlu mengelakkan terlalu banyak projek dimulakan secara serentak sehingga menyebabkan sebahagiannya gagal diselesaikan dengan baik.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Ahmad Zahid Hamidi, KKDW, Operasi Sifar Tertangguh, projek pembangunan, bayaran kontraktor, Jalan Luar Bandar, Putrajaya, projek tertangguh
