Jurang RM6 bilion cabaran KKDW laksana projek pembangunan 2027
Jurang RM6 bilion cabaran KKDW laksana projek pembangunan 2027
Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berdepan cabaran menyusun keutamaan projek pembangunan bagi 2027 apabila permohonan peruntukan RM14.39 bilion jauh melebihi siling bayangan sekitar RM8.3 bilion.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan itu mewujudkan jurang kira-kira RM6 bilion antara jumlah dimohon kementerian dengan peruntukan yang dijangka tersedia menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) 2027.
Menurutnya, jurang berkenaan menggambarkan realiti semasa pengurusan kewangan kerajaan apabila keperluan pembangunan sentiasa lebih besar berbanding sumber yang ada.
“Jurang ini mencerminkan satu realiti penting dalam pengurusan kerajaan ketika ini, apabila keperluan sentiasa lebih besar daripada sumber yang tersedia.
“Saya juga membayangkan bahawa ruang fiskal yang kita terima kali ini mungkin tidak sebesar beberapa tahun kebelakangan ini. But I’m hope I’m wrong,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, semua bahagian, jabatan serta agensi di bawah KKDW perlu menilai semula program sedia ada bagi memastikan setiap peruntukan memberi impak terbaik kepada rakyat.
Katanya, penilaian itu perlu mengambil kira sama ada masalah yang mahu diselesaikan masih wujud, pendekatan digunakan masih relevan serta tidak berlaku pertindihan dengan program atau agensi lain.
Beliau berkata, sumber juga perlu dialihkan daripada program yang memberikan nilai rendah kepada inisiatif yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah rakyat.
Menurutnya, perkara itu penting khususnya ketika kerajaan berdepan kekangan kewangan, tenaga kerja dan kapasiti pelaksanaan.
Pada masa sama, Ahmad Zahid mengingatkan KKDW supaya tidak memulakan terlalu banyak projek secara serentak sehingga sumber yang ada terpaksa diagihkan terlalu nipis.
Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan terlalu banyak projek dimulakan tetapi hanya sedikit dapat disiapkan mengikut perancangan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Ahmad Zahid Hamidi, KKDW, Rolling Plan Kedua, RP2 2027, peruntukan pembangunan, RM14.39 bilion, jurang RM6 bilion, pembangunan desa, ruang fiskal
