Malaysia intai peluang baharu bersama Jepun dalam sektor strategik
Malaysia intai peluang baharu bersama Jepun dalam sektor strategik
Kuala Lumpur: Malaysia mahu memperluas kerjasama dengan Jepun dalam sektor strategik bernilai tinggi termasuk semikonduktor, tenaga hijau dan pembuatan termaju bagi memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian bekalan global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, masih terdapat banyak ruang yang belum diterokai kedua-dua negara, terutama ketika Malaysia berusaha meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai industri semikonduktor.
Menurutnya, kekuatan Malaysia dan Jepun boleh saling melengkapi dalam usaha membangunkan sektor berteknologi tinggi.
“Terdapat banyak sektor yang masih belum diterokai Jepun. Dalam ucapan saya tadi, saya menyebut mengenai tenaga hijau, pembuatan termaju dan semikonduktor.
“Kita boleh saling melengkapi kerana Malaysia juga mempunyai pendedahan yang besar dalam bahagian belakang keseluruhan industri elektrik dan elektronik (E&E). Ini antara perkara yang saya fikir kita akan teruskan libat urus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Persidangan Bersama MAJECA dan JAMECA Ke-43, Selasa.
Terdahulu dalam ucapannya, Johari berkata, Malaysia sudah membina keupayaan besar dalam sektor pembuatan semikonduktor termasuk pemasangan, pembungkusan dan pengujian.
Bagaimanapun, katanya, negara perlu bergerak ke arah aktiviti yang menawarkan nilai tambah lebih tinggi.
Ini termasuk memperkukuh keupayaan teknologi syarikat tempatan serta membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam rantaian bekalan global.
Menurut Johari, Jepun mempunyai keupayaan yang boleh membantu Malaysia beralih kepada segmen lebih canggih dalam rantaian nilai semikonduktor.
Selain semikonduktor, Jepun juga boleh memanfaatkan peluang baharu menerusi Grid Kuasa ASEAN serta agenda peralihan tenaga Malaysia, termasuk pengembangan kapasiti tenaga boleh baharu dan pembangunan teknologi tenaga baharu.
Sementara itu, perdagangan dua hala Malaysia-Jepun meningkat 11.8 peratus kepada AS$23.3 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Johari berkata, Jepun kekal antara rakan perdagangan dan pelaburan terpenting Malaysia.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Malaysia, Jepun, Johari Abdul Ghani, semikonduktor, tenaga hijau, pembuatan termaju, E&E, MAJECA, JAMECA, perdagangan Malaysia-Jepun
