TH kekal profesional, tiada ruang ahli politik aktif dalam lembaga
TH kekal profesional, tiada ruang ahli politik aktif dalam lembaga
BANGI: Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan barisan Lembaga Pengarah institusi itu tidak akan dianggotai ahli politik aktif bagi memastikan pengurusannya kekal profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh politik.
Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin berkata, pemilihan ahli Lembaga Pengarah dibuat berdasarkan kriteria yang disyorkan termasuk kelayakan, kesesuaian calon serta keseimbangan kemahiran yang diperlukan bagi melaksanakan transformasi institusi berkenaan.
Menurutnya, sejak menerajui TH, beliau berpegang kepada prinsip bahawa institusi itu perlu dikendalikan secara profesional tanpa campur tangan politik.
“Sejak saya masuk Tabung Haji, saya tidak benarkan ada ahli politik dalam lembaga saya.
“Saya bernasib baik dapat bekerja dengan dua menteri yang sangat baik, menteri sebelum ini dan menteri sekarang yang memahami bahawa saya bukan ahli politik dan saya tidak mahu politik dalam Tabung Haji,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Tabung Haji, di sini.
Rashid berkata, TH perlu terus dilihat sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang kredibel dengan tanggungjawab utama membantu serta memudahkan urusan umat Islam menunaikan ibadat haji.
Katanya, justeru institusi itu perlu ditadbir oleh individu profesional yang mempunyai kepakaran dan pengalaman bersesuaian.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan TH terus mendapat kepercayaan penuh komuniti Islam di Malaysia sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berwibawa dan berintegriti.
Menurutnya, ketiadaan penglibatan politik dalam pengurusan TH turut membantu institusi itu berada di landasan pemulihan yang lebih kukuh.
Ia termasuk prestasi kewangan yang semakin baik apabila keuntungan meningkat selain agihan keuntungan atau dividen kepada pendeposit dapat dipertingkatkan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.
Rashid berkata, pencapaian itu membuktikan pengurusan secara profesional dan berasaskan tadbir urus baik amat penting untuk memastikan TH terus kukuh serta mampu melaksanakan mandatnya kepada umat Islam.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Tabung Haji, TH, Tan Sri Rashid Hussin, ahli politik, Lembaga Pengarah, institusi kewangan Islam, haji, tadbir urus, profesional, dividen
