RCI TH sudah beri Madinah peluang jawab 75 soalan – Rashid
RCI TH sudah beri Madinah peluang jawab 75 soalan – Rashid
BANGI: Dakwaan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad bahawa beliau tidak diberi peluang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan tidak benar.
Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin berkata, berdasarkan rekod suruhanjaya, sapina sudah diserahkan kepada Madinah untuk hadir memberi keterangan pada 3 Jun 2022.
Bagaimanapun, katanya, Madinah ketika itu memohon supaya tidak hadir bersendirian, sebaliknya mahu ditemani timbalannya, Mona Osman.
“Mustahil untuk mengatakan bahawa kami tidak memanggil beliau untuk hadir di hadapan suruhanjaya.
“Rekod kami menunjukkan beliau sebenarnya disapina untuk hadir pada 3 Jun 2022, tetapi beliau meminta supaya tidak hadir bersendirian dan mahu ditemani timbalannya, Puan Mona Osman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Tabung Haji, di sini.
Rashid berkata, susulan permintaan berkenaan, Pengerusi Suruhanjaya, Tun Md Raus Sharif memutuskan untuk memanggil Mona bagi memberi keterangan pada 2 Jun 2022.
Menurutnya, Madinah pula diberikan peluang menjawab sebanyak 75 soalan yang dikemukakan suruhanjaya.
Katanya, jawapan terhadap soalan berkenaan kemudiannya dikemukakan oleh Madinah menerusi akuan berkanun berserta surat lampiran dan direkodkan sebagai kenyataan saksi.
“Dokumen itu ada dalam rekod kami sebagai kenyataan saksi. Jadi, tidak benar untuk mengatakan beliau tidak diberikan peluang,” katanya.
Rashid berkata, beliau bersedia mengambil risiko dengan tampil menjelaskan perkara berkenaan berdasarkan rekod yang sudah disemak.
Katanya, penjelasan itu dibuat bagi mempertahankan integriti TH selain memastikan proses dan perjalanan RCI berkenaan tidak dipersoalkan berdasarkan dakwaan yang tidak selari dengan rekod suruhanjaya.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Tabung Haji, TH, RCI Tabung Haji, Tan Sri Madinah Mohamad, Tan Sri Rashid Hussin, Tun Md Raus Sharif, Mona Osman, Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Siasatan Diraja
