Legasi Everest 30 tahun cetus semangat cabar kemampuan
Legasi Everest 30 tahun cetus semangat cabar kemampuan
KUALA LUMPUR: Kejayaan rakyat Malaysia menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest hampir tiga dekad lalu bukan sekadar mencatat sejarah, malah menjadi pencetus kepada keberanian rakyat negara ini mencabar kemampuan diri dalam pelbagai bidang sukan lasak.
Rakyat Malaysia pertama menawan puncak Everest, Datuk M Magendran berkata, kejayaan bersejarah itu meninggalkan legasi besar khususnya dalam aktiviti pendakian dan penerokaan yang terus memberi inspirasi kepada generasi seterusnya.
Menurutnya, sambutan ‘Three Decades of Malaysia Everest Legacy’ yang diadakan di Kuala Lumpur, Ahad lalu bertujuan menghimpunkan komuniti Everest Malaysia serta penggiat sukan lasak bagi mengenang pencapaian terdahulu selain melihat potensi penerokaan Himalaya pada masa depan.
“Jadi, selama 30 tahun kejayaan Everest ini merupakan satu legasi terutama kepada kegiatan mendaki.
“Ini adalah satu usaha kita ke arah membentuk dan melihat lebih ramai rakyat Malaysia mengambil peluang untuk melakukan perkara yang jauh lebih mencabar berbanding dengan apa yang telah dilakukan,” katanya.
Magendran berkata, kejayaan ekspedisi Everest 1997 juga dilihat membuka ruang dan membangkitkan keyakinan rakyat Malaysia untuk mencipta pencapaian baharu di pentas antarabangsa.
Katanya, selepas kejayaan berkenaan, negara menyaksikan lebih banyak pencapaian luar biasa dan rekod baharu dicipta rakyat Malaysia dalam aktiviti lasak.
Antaranya, Datuk Azhar Mansor yang muncul sebagai rakyat Malaysia pertama berlayar secara solo mengelilingi dunia pada 1999.
Selain itu, Malik Mydin pula mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama berenang merentasi Selat Inggeris pada 2003.
Menurut Magendran, pencapaian berkenaan membuktikan rakyat Malaysia mempunyai keupayaan untuk melakukan cabaran luar biasa apabila diberikan peluang, persediaan dan keberanian untuk mencuba.
Beliau berharap legasi Everest terus menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, untuk meneroka cabaran baharu dan membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: M Magendran, Gunung Everest, Everest 1997, Three Decades of Malaysia Everest Legacy, pendaki Malaysia, sukan lasak, Himalaya, Azhar Mansor, Malik Mydin
