Rumah uzur dua beradik yatim piatu perlu dibaiki segera
Rumah uzur dua beradik yatim piatu perlu dibaiki segera
KUALA KRAI : Dua beradik yatim piatu yang hidup serba kekurangan kini memerlukan bantuan orang ramai bagi membaik pulih kediaman mereka yang semakin uzur demi mendapatkan tempat tinggal lebih selamat dan selesa.
Lebih menyentuh hati, si abang yang baru berusia 20 tahun terpaksa berhenti belajar dan bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan persekolahan adiknya serta keperluan harian mereka.

Pengerusi Mahabah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed berkata, keadaan rumah didiami dua beradik berkenaan sangat daif dengan sebahagian zink bumbung sudah reput dan bocor.
Menurutnya, keadaan bumbung juga membimbangkan apabila ada kepingan zink terpaksa diikat menggunakan tali bagi mengelakkannya diterbangkan angin.
“Pendapatan si abang sebagai pembantu kedai makan tidak seberapa, namun dia tetap berusaha mencari rezeki untuk perbelanjaan sekolah adiknya dan memastikan mereka mempunyai makanan.

“Keadaan rumah mereka pula terlalu uzur dan memerlukan pembaikan segera supaya dua beradik ini dapat tinggal dengan lebih selesa dan selamat,” katanya.
Che Norhayati berkata, pihaknya merancang menggantikan bahagian bumbung rosak selain membina tandas baharu di dalam rumah kerana kemudahan sedia ada berada di luar kediaman.
Katanya, sebuah bilik turut dirancang untuk dibina bagi memberi ruang lebih selesa kepada dua beradik itu untuk tidur dan belajar kerana rumah berkenaan ketika ini tidak mempunyai bilik.

Selain itu, Mahabah Asnaf Society turut berhasrat memasang siling, membaiki bahagian dapur serta menyediakan keperluan asas termasuk kipas, katil, almari pakaian dan almari makanan.
Beliau berharap orang ramai dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan terutama sempena bulan Rabiulawal bagi meringankan beban dua beradik berkenaan.
“Sumbangan sekecil mana pun amat bermakna dan diharapkan dapat memberikan kehidupan lebih selesa kepada mereka. Semoga setiap sedekah mendapat keredaan, rahmat dan keberkatan Allah SWT,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Mahabah Asnaf Society, 03072010143853.
#kw: Mahabah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed, yatim piatu, rumah uzur, bantuan asnaf, sumbangan, dua beradik, baik pulih rumah, Rabiulawal, kebajikan
