Bekas CEO Tabung Haji direman tujuh hari
Bekas CEO Tabung Haji direman tujuh hari
PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Ismee Ismail direman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH.
Perintah reman terhadap Ismee yang berusia lingkungan 60-an itu bermula hari ini hingga 27 Ogos.
Majistret Ezrene Zakaria membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.
Ismee dilihat tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.35 pagi bagi prosiding permohonan reman berkenaan.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan penemuan dalam Laporan RCI mengenai TH.
Mereka terdiri daripada seorang bekas CEO syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas anggota pengurusan kanan TH.
Laporan RCI yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu antara lain mencadangkan supaya audit forensik dilaksanakan terhadap beberapa keputusan pelaburan terdahulu yang didapati menyebabkan penurunan nilai aset.
Laporan berkenaan turut menyenaraikan beberapa pelaburan bermasalah yang memerlukan penelitian dan audit forensik bagi mengenal pasti perkara berkaitan pengurusan serta keputusan pelaburan berkenaan.
RCI berkenaan ditubuhkan bagi meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Hasil siasatan suruhanjaya itu antara lain mendapati terdapat transaksi mencurigakan selain isu berkaitan penyembunyian maklumat yang memerlukan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
Siasatan SPRM kini diteruskan bagi meneliti perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan serta menentukan sama ada wujud sebarang kesalahan mengikut undang-undang berkaitan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail, SPRM, reman, Putrajaya, RCI Tabung Haji, Lembaga Tabung Haji, audit forensik, pelaburan, siasatan
