Kempen anti-scam perlu sampai ke kampung
Kempen anti-scam perlu sampai ke kampung
KUALA LUMPUR: Kempen kesedaran mengenai penipuan dalam talian perlu diperluaskan hingga ke kawasan luar bandar dan terpencil bagi memastikan masyarakat tidak terus menjadi mangsa scam.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, capaian Internet yang semakin meluas termasuk di kawasan pedalaman turut meningkatkan risiko penduduk menjadi sasaran penipuan dalam talian.
Menurutnya, kempen kesedaran tidak seharusnya hanya tertumpu kepada program berskala besar di bandar, sebaliknya perlu dibawa ke peringkat akar umbi menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan penduduk serta Rukun Tetangga.
“Bukan semua orang dapat datang ke hotel. Kita kena bawa program ini ke balai raya, dekat kampung-kampung.
“Bila kita sediakan Internet sampai ke kampung-kampung yang terpencil, masyarakat di sana pun boleh menjadi mangsa scam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Program Nasional Kesedaran Anti Scam 2026, Khamis.
Fahmi berkata, usaha menangani scam memerlukan kerjasama menyeluruh termasuk penyedia platform media sosial yang bertanggungjawab memastikan perkhidmatan mereka tidak disalahgunakan bagi kegiatan penipuan.
Katanya, sebanyak 476,516 kandungan dalam talian diminta diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 1 Januari hingga semalam.
Daripada jumlah itu, lebih 302,000 kandungan membabitkan perjudian dalam talian manakala lebih 123,000 lagi berkaitan scam.
Menurutnya, Facebook merekodkan jumlah kandungan scam tertinggi dengan lebih 67,000 kandungan, diikuti TikTok melebihi 50,000.
Beliau memberi amaran penyedia platform yang gagal memastikan keselamatan perkhidmatan boleh berdepan tindakan termasuk denda sehingga RM10 juta.
Dalam pada itu, mangsa scam dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
Fahmi berkata, tindakan dalam tempoh 15 hingga 30 minit selepas kejadian amat penting bagi meningkatkan peluang menyekat pemindahan wang serta mendapatkan semula wang mangsa.-SAHIH
Sumber:BERNAMA
#kw: Fahmi Fadzil, scam, penipuan dalam talian, anti-scam, MCMC, NSRC 997, Facebook, TikTok, luar bandar, keselamatan siber, Program Nasional Kesedaran Anti Scam 2026
