524 projek bilik darjah tambahan bernilai RM668 juta dilaksana seluruh negara
524 projek bilik darjah tambahan bernilai RM668 juta dilaksana seluruh negara
Kuala Terengganu: Sebanyak 524 projek pembinaan bilik darjah tambahan bagi kemasukan murid Tahun Satu sesi 2027 akan dilaksanakan di seluruh negara membabitkan kos keseluruhan RM668 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, 517 projek telah menerima Surat Setuju Terima (SST), manakala baki tiga projek lagi sedang dalam proses akhir sebelum pelaksanaan.
Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi mengatasi isu kepadatan murid di sekolah serta memastikan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif dapat disediakan menjelang sesi persekolahan tahun depan.
Menurutnya, projek itu membabitkan pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan kaedah modular dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mampu mempercepatkan tempoh pembinaan tanpa menjejaskan kualiti.
“Projek ini membabitkan 459 sekolah di seluruh negara dengan keseluruhan 1,780 bilik darjah yang akan dibina bagi memenuhi keperluan kemasukan murid Tahun Satu sesi 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Mendahului Jadual di SMK Tok Jembal, di sini.
Ahmad berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 1,255 bilik darjah adalah bagi aliran perdana manakala 525 lagi melibatkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Menurutnya, Selangor merekodkan jumlah projek tertinggi iaitu 143 projek dan kesemuanya telah menerima SST.
“Ini diikuti Kedah dengan 93 projek yang mana 92 daripadanya telah menerima SST, manakala Johor merekodkan 47 projek dengan 45 projek sudah menerima SST.

“Terengganu pula mempunyai 45 projek dan kesemuanya telah menerima SST, manakala Pulau Pinang mencatatkan 30 projek dengan semua projek telah menerima SST,” katanya.
Beliau berkata, Perak merekodkan 22 projek dengan 18 projek menerima SST, manakala Pahang melibatkan 50 projek, Melaka 69 projek, Kelantan 10 projek dan Perlis lapan projek.
Katanya, Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai tiga projek manakala Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing dua projek.
Beliau berharap pelaksanaan projek berkenaan dapat berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan sekali gus memastikan murid mendapat kemudahan pembelajaran yang mencukupi dan berkualiti menjelang sesi persekolahan 2027.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw
#AhmadMaslan #KementerianKerjaRaya #BilikDarjahTambahan #Sekolah #Pendidikan #IBS #Modular #TahunSatu2027 #SMKTokJembal #Malaysia
