RM3 juta bantu penjaja B40, RM500,000 perkasa STEM
Foto : Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melepaskan kira-kira 2,000 peserta larian, Jerantut Merdeka Run 2026 dan Santai Bersama Tok Wan di Jerantut.
RM3 juta bantu penjaja B40, RM500,000 perkasa STEM
JERANTUT: Kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta menerusi Inisiatif Makmur Pahang Kluster B40 bagi pemberian lesen percuma kepada penjaja B40 sedia ada.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 5,906 penjaja menerima bantuan sebanyak RM200 seorang menerusi inisiatif berkenaan.

Antara peserta larian yang diadakan di Padang Bola Sepak Persatuan Bolasepak Jerantut, di sini.
“Bantuan ini mungkin kelihatan kecil, namun amat bermakna kepada penjaja yang berdepan pelbagai kos termasuk sewa tapak, bahan mentah, modal pusingan dan keperluan keluarga.
“Kita mahu ringankan sedikit beban mereka supaya terus berniaga, mencari rezeki dan menyara keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Aspirasi Pahang 1st Tahun 2026 Peringkat Daerah Jerantut, di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut menyediakan RM500,000 bagi menjayakan Pahang STEM Competition 2026 sebagai usaha mencungkil bakat baharu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Pahang Skills bagi memperkasa minat serta bakat pelajar dalam bidang berkenaan.
“Kita mahu anak-anak Pahang mengenali STEM sejak di bangku sekolah, bukan sekadar belajar tetapi berani mencuba, berfikir, mencipta dan menghasilkan sesuatu.
“Dunia sekarang berubah sangat cepat. Kalau kita tidak bersedia, kita akan ketinggalan, kita mahu anak-anak Pahang bukan hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya jika boleh, menjadi pencipta teknologi,” katanya.
Menurutnya, pertandingan berkenaan diharap dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu yang mampu mengharumkan nama Pahang hingga ke peringkat antarabangsa.-SAHIH.
