Nurul Izzah Kekal Dalam PKR, Terus Berjuang Melalui Wadah Berbeza
Nurul Izzah Kekal Dalam PKR, Terus Berjuang Melalui Wadah Berbeza
Melaka: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau akan terus kekal bersama parti itu, namun memilih pendekatan berbeza dalam meneruskan perjuangan untuk rakyat.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui pelbagai pertimbangan dan mengambil kira keperluan untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat menerusi saluran yang lebih luas.
Menurutnya, walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil, beliau tetap yakin setiap individu perlu jujur kepada diri sendiri dalam menentukan haluan perjuangan masing-masing.
“Saya memilih untuk terus berjuang bukan secara terus dalam parti, tetapi menerusi laluan masyarakat MADANI.
“Ada yang tidak dapat menerima kekalahan saya pada 2022, ada yang tidak dapat menerima kemenangan saya pada 2025 dan ada juga yang tidak dapat menerima keputusan saya untuk berundur pada 2026. Kita tidak mampu memuaskan hati semua orang, tetapi kita perlu kekal setia kepada diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Bersama Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Nurul Izzah turut mengimbau kembali semangat asal penubuhan Angkatan Insan Muda (ADIL) yang kemudiannya berkembang menjadi PKR, dengan menekankan perjuangan berteraskan keadilan sosial serta pembangunan masyarakat sivil yang demokratik.
Katanya, nilai dan prinsip yang menjadi asas perjuangan parti perlu terus dipertahankan tanpa kompromi walaupun berdepan pelbagai cabaran politik semasa.
Beliau turut menyeru seluruh anggota parti supaya menumpukan sepenuh tenaga untuk memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya akan datang dan mengelakkan sebarang bentuk pertelingkahan dalaman yang boleh menjejaskan kekuatan parti.
Menurutnya, perpaduan dalam kalangan anggota dan kepimpinan adalah kunci utama untuk memastikan PKR terus mendapat kepercayaan rakyat.
“Parti tidak akan mampu menjadi organisasi yang kuat selagi masih wujud budaya ‘parti dalam parti’ atau struktur kuasa tersembunyi yang hanya melemahkan perjuangan bersama,” katanya.
Beliau berharap seluruh anggota parti dapat bergerak seiring dalam memperkukuh organisasi serta meneruskan agenda reformasi demi kepentingan rakyat dan negara.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
