Tekad Keluar Kemiskinan, Serunding Bunga Kantan Tembusi Pasaran Dubai
Tekad Keluar Kemiskinan, Serunding Bunga Kantan Tembusi Pasaran Dubai
Seri Iskandar: Tekad untuk mengubah nasib hidup daripada belenggu kemiskinan mendorong seorang peserta bimbingan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) berjaya membina perniagaan makanan ringan sehingga menembusi pasaran antarabangsa termasuk Dubai.
Mariyaton Kaftiah Yusof, peserta FELCRA Nasaruddin Belia di Bota, Perak, berkata beliau mula mengusahakan tanaman bunga kantan dan pelbagai jenis ulam di kawasan belakang rumah ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Menurutnya, kesukaran memasarkan hasil tanaman ketika itu mencetuskan idea menghasilkan serunding bunga kantan dan beberapa produk berasaskan ulam tempatan yang kini mendapat sambutan memberangsangkan.
“Produk saya menggunakan bahan yang mudah diperoleh di sekitar kawasan rumah seperti pucuk ajinomoto, bunga kantan dan kunyit. Daripada situ saya menghasilkan pelbagai jenis serunding dan kerepek berasaskan tanaman tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program usahawan bimbingan FELCRA baru-baru ini.
Mariyaton berkata, perniagaan yang dimulakan dengan modal kira-kira RM500 itu kini mampu menjana jualan bulanan sekitar RM6,500, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup keluarganya.
Selain serunding bunga kantan, beliau turut menghasilkan serunding pucuk ubi, serunding petai, serunding pucuk ajinomoto, kerepek peria, kerepek daun salang dan simpul kasih.
Katanya, produk berkenaan kini bukan sahaja dipasarkan kepada pelanggan sekitar Seri Iskandar dan Manjung, malah menembusi rangkaian stesen minyak selain mempunyai ejen berdaftar di seluruh negara.
Lebih membanggakan, produk serunding bunga kantan keluarannya turut dipilih di bawah inisiatif Sambal Street FELCRA Berhad untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa meliputi Singapura, Brunei dan Dubai.

“Produk yang saya bawa sekarang baru pulang dari Singapura, bulan lalu ke Brunei dan sebelum itu ke Dubai,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Peserta FELCRA Negeri Perak, Mohd Anuar Hanip berkata, Mariyaton adalah antara 11 usahawan bimbingan FELCRA Nasaruddin Belia daripada keseluruhan 198 usahawan di Perak.
Beliau berkata, FELCRA sentiasa komited membantu usahawan luar bandar melalui penyediaan premis perniagaan, bantuan pembiayaan, mesin pemprosesan serta pengurusan pensijilan halal bagi meningkatkan daya saing produk tempatan sehingga mampu menembusi pasaran global.
