Wanita mengaku salah anjur kutu rugi lebih RM1 juta
Wanita mengaku salah anjur kutu rugi lebih RM1 juta
ALOR SETAR: Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM1 juta antara Julai 2025 hingga Julai lalu.
Pengakuan itu dibuat Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Mengikut pertuduhan, Siti Zulaika didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu disertai 52 individu berusia antara 24 hingga 62 tahun dengan setiap peserta dikehendaki membayar wang tunai kepada kumpulan berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, Changlun.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern menawarkan jaminan RM100,000 berikutan jumlah kerugian yang dianggarkan melebihi RM1 juta.
Siti Zulaika yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan untuk mengurangkan jumlah jaminan berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 22 September depan sebagai tarikh hukuman.
Pada 4 Ogos lalu, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan Siti Zulaika bersama suami dan anak mereka dari kediaman di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam sejak 20 Julai.
Wanita berkenaan kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dua hari selepas laporan berkenaan dibuat.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim dilaporkan berkata, pihaknya menerima 35 laporan polis berkaitan wanita terbabit berhubung pelaburan wang kutu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
