Remaja maut tercampak di LPT ketika dalam perjalanan ke Himpunan RXZ 8.0
Remaja maut tercampak di LPT ketika dalam perjalanan ke Himpunan RXZ 8.0
Temerloh: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas sebelum tercampak ke lorong kanan dan dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 112.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam semalam, mangsa, Muhammad Zulhairi Azhar Mohd Shahrizan, 19, dari Kampung Sungai Udang, Klang, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Nasyim Bahron, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 1.03 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 sedang dalam perjalanan dari Klang menuju ke Kuala Terengganu bagi menghadiri Himpunan RXZ Member 8.0.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di lorong kiri jalan. Mangsa kemudian tercampak ke lorong kanan.
“Pada masa sama, sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 23 tahun di lorong kanan gagal mengelak lalu melanggar mangsa sebelum tubuhnya tercampak semula ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu kereta terbabit yang bekerja di sebuah gudang Shopee tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala motosikal dan kereta masing-masing mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
Mohd Nasyim berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal sehingga terbabas.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk tindakan lanjut dan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.-SAHIH
