Malaysia terus jadi tonggak gerakan koperasi Asia Pasifik
Malaysia terus jadi tonggak gerakan koperasi Asia Pasifik
KUALA LUMPUR: Malaysia terus diiktiraf sebagai antara peneraju utama gerakan koperasi di rantau Asia Pasifik apabila kejayaan dan sumbangan sektor itu mendapat pengiktirafan daripada International Cooperative Alliance (ICA) Asia and Pacific.
Pengarah Serantau ICA Asia and Pacific, Balu Iyer berkata, Malaysia kekal memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan gerakan koperasi menerusi kepimpinan di peringkat serantau dan antarabangsa, selain komitmen berterusan terhadap pendidikan, pembangunan kapasiti serta kerjasama antara koperasi.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin bagi membincangkan hala tuju serta perkembangan sektor koperasi negara.
Menurutnya, Malaysia kini mempunyai kira-kira 17,000 koperasi dengan keanggotaan melebihi 7.4 juta ahli, sekali gus menyumbang sekitar 3.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun lalu.
Katanya, koperasi di Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus diperkasakan sebagai pemacu ekonomi rakyat menerusi pembangunan ekonomi digital, keterjaminan makanan serta pembangunan luar bandar.
Beliau turut menyifatkan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak Belia Asia Pasifik di Sabah sebagai platform penting dalam menarik penyertaan generasi muda ke dalam gerakan koperasi.
Menurutnya, koperasi sekolah di Malaysia menjadi contoh terbaik dalam memupuk nilai keusahawanan, demokrasi dan semangat kerjasama sejak usia muda bagi melahirkan barisan pemimpin koperasi masa depan.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pengiktirafan yang diberikan ICA membuktikan gerakan koperasi Malaysia terus berada di landasan kukuh dan diyakini di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, ANGKASA akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan ICA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta rakan koperasi lain bagi memastikan sektor koperasi terus berkembang sebagai pemacu ekonomi rakyat dan menyumbang kepada kemakmuran negara.-SAHIH
