Ujian hidup tanda kasih sayang Allah, bukan hukuman – Ustaz Munhameer
Foto : Sebahagian aktivis masyarakat, sukarelawan dan warga emas pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.
SEMENYIH – Tiada manusia yang terlepas daripada ujian hidup sama ada kemiskinan, kehilangan insan tersayang, penyakit mahupun ditolak oleh keluarga, namun setiap dugaan yang diberikan Allah SWT adalah mengikut kemampuan hamba-Nya.
Demikian antara pengisian ceramah bertajuk Indahnya Hijrah Hati di Usia Senja yang disampaikan Imam Rawatib Surau As-Siddiq, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Ustaz Munhameer Yusuf pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di sini, baru-baru ini.

Ustaz Munhameer Yusuf sedang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Indahnya Hijrah Hati di Usia Senja’ pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Menurut beliau, ramai melihat kesakitan sebagai musibah semata-mata, sedangkan bagi orang beriman, sakit merupakan tanda kasih sayang Allah kerana menjadi sebab penghapusan dosa dan peningkatan darjat di sisi-Nya.
Beliau memetik sabda Rasulullah SAW bahawa setiap keletihan, penyakit, kesedihan, kesusahan atau kesakitan yang dialami seorang Muslim akan menjadi penghapus sebahagian dosanya.
“Apabila kita sakit, hati menjadi lebih dekat kepada Allah dan kita diingatkan bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara,” katanya.
Ustaz Munhameer turut menyentuh ujian emosi yang dialami segelintir individu, khususnya warga emas yang dipinggirkan keluarga sendiri.
Menurutnya, walaupun perasaan dibuang atau tidak dipedulikan amat menyakitkan, umat Islam tidak seharusnya berputus asa kerana Allah SWT tidak pernah meninggalkan hamba-Nya.
Beliau mengingatkan bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri pernah dihina, disakiti, diusir dari kampung halaman serta kehilangan insan tersayang, namun Baginda tetap bersabar dan terus berdoa sehingga Allah mengangkat darjatnya.
Majlis itu turut dihadiri kira-kira 200 tetamu termasuk warga emas dari Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), aktivis masyarakat serta beberapa tokoh tempatan. Penceramah bebas, Ustaz Alias Ahmad pula mengetuai bacaan Yasin dan tahlil.
Dalam ceramahnya, Ustaz Munhameer turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan petugas PJMM serta PJNH yang disifatkannya amanah, ikhlas dan bertanggungjawab menjaga kebajikan warga emas.
Beliau berkata, tugas menguruskan penghuni yang uzur dan terlantar bukan sesuatu yang mudah, namun ia menjadi amalan mulia yang wajar dihargai masyarakat.
Sementara itu, bekas Imam Masjid Kariah Batu 3, Jalan Bangi, Husrin Amat berkata, sambutan Maal Hijrah berkenaan memberi suntikan semangat kepada warga emas untuk terus mensyukuri nikmat Allah walaupun berada di pusat jagaan.
Menurutnya, pihak pengurusan pusat sentiasa menjaga kebajikan penghuni sehingga ke akhir hayat, termasuk menguruskan jenazah apabila waris gagal tampil mengambil tanggungjawab.-SAHIH.
